TAPAH: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Selasa depan iaitu sehari selepas pengumuman calon oleh Barisan Nasional (BN).
Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abd. Muhaimin Malek berkata, pengumuman itu akan diadakan di sekitar kawasan Ayer Kuning pada pukul 11 malam selepas sesi ceramah oleh pemimpin PN Pusat dan negeri.
“Setakat ini, kami masih menunggu kelulusan permit kebenaran oleh pihak berwajib sebelum kami umumkan secara rasmi tidak lama lagi. Berkenaan calon telah ada senarai pendek yang merupakan calon tempatan daripada Pas sendiri.
“Kami tidak akan melancarkan sebarang jentera kerana telah dilakukan sebelum ini dan setakat ini respons daripada pengundi amat positif,” katanya di sini hari ini.
Katanya, PN akan melakukan kempen secara agresif di lapangan dan media sosial dengan mendekati pengundi golongan muda dan veteran.
“Kami dekati pengundi lelaki dan wanita dan itu amalan yang dilakukan sebelum ini dan bukan sekadar semasa PRK semata-mata. Cawangan kami (Pas) ada di setiap kawasan dan kampung di Ayer Kuning.
“Pas telah lama bertapak di Ayer Kuning dan kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan menjadikan kempen kali ini secara sistematik dan tersusun,” katanya.
Difahamkan, terdapat dua orang calon tempatan yang mana salah satunya bakal terpilih menjadi calon pada PRK tersebut.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi dalam pertembungan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu pada 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan. – UTUSAN