PNB bayar agihan pendapatan RM14.5 bilion pada 2024

PNB bayar agihan pendapatan RM14.5 bilion pada 2024


zahrin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) membayar agihan pendapatan dan bonus berjumlah RM14.5 bilion kepada pemegang unitnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Pencapaian itu didorong oleh persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan.

Syarikat pengurusan dana itu juga melaporkan bahawa pendapatan bersih kumpulan meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada RM13.04 bilion pada 2023 kepada RM16.97 bilion.

PNB, katanya, terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh rakyat Malaysia, dengan bilangan pemegang akaun unik dan jumlah akaun masing-masing meningkat ke paras tertinggi iaitu 13.1 juta dan 16.2 juta.

Justeru itu, katanya, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kembali pulih, mencecah RM348.3 bilion, meningkat daripada RM337.0 bilion pada 2023.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengagihkan dividen tertinggi, memberi manfaat kepada semua rakyat.

Beliau berkata, dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), mengagihkan jumlah pendapatan sebanyak 5.75 sen, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

“Kesemua 18 dana Harga Tetap (FP) dan Harga Berubah (VP) mengatasi penanda aras masing-masing, dengan 11 daripada 12 dana VP tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam kumpulan setara mereka.

“Prestasi ini secara positif mencerminkan daya tahan jangka panjang PNB dalam merealisasikan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentasi generasi,” katanya dalam satu kenyataan Laporan Bersepadu (IR) 2024 hari ini.

IR 2024 bertujuan untuk menyediakan piawaian pelaporan dan asurans yang dipertingkatkan, serta pendedahan ESG dan iklim yang lebih meluas, selaras dengan komitmen terhadap ketelusan, penciptaan nilai lestari dan penjajaran kepada amalan terbaik global.

Sementara itu, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad pula berkata, melangkah ke hadapan, PNB akan sentiasa bersikap realistik mengenai keadaan makroekonomi dan pasaran modal yang akan menjadi semakin tidak menentu dan berisiko tinggi.

Beliau berkata, ia disebabkan perkembangan geopolitik terkini dan perubahan asas dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

Bagi menghadapi cabaran itu, katanya, PNB akan terus teguh melaksanakan inisiatif strategik merentasi enam teras di bawah Pelan Strategik LEAP 6.

“Fokus PNB adalah kekal untuk melestarikan prestasi dana-dana melalui strategi kepelbagaian aset yang berterusan, selaras dengan komitmen memberikan pulangan yang konsisten dan berdaya saing kepada pemegang unit,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, cabaran lain yang lebih mendesak kini adalah untuk menggalakkan rakyat menabung lebih banyak dan melabur bersama ASNB memandangkan perubahan tabiat perbelanjaan.

Beliau berkata, dengan tekanan terhadap pendapatan boleh guna bersih, ia mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menabung secara sukarela berbanding lima atau sepuluh tahun lalu.

“Namun begitu, kami optimis dapat mengatasi perkara ini dengan memperkukuhkan keupayaan jualan dan pengedaran, disokong oleh inovasi produk, program literasi kewangan serta peluasan platform pengedaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top