‘Pocong’ bakal menghantui pemain PUBG Mobile mulai hari ini

‘Pocong’ bakal menghantui pemain PUBG Mobile mulai hari ini


KUALA LUMPUR – PUBG Mobile, sebuah permainan video popular genre pertempuran beramai-ramai atau battle royal hari ini melancarkan koleksi Cerita Hantu Malaysia bertajuk “Jelmaan” bersempena sambutan Halloween bulan ini.

Pembangun permainan video berkenaan Tencent Games dalam kenyataan memaklumkan para pemain akan teruja menjelajah medan pertempuran dan menghantui musuh mereka dengan set ‘Pocong’ yang direka khas oleh pereka permainan tempatan berbakat.

Tencent Games memaklumkan set ini akan tersedia hingga 11 Nov yang menampilkan empat item iaitu “The Restless Pocong” (set pakaian), “The Pocong Shadow” (senapang DBS), “The Pocong Wanderer” (beg galas) dan “Elusive Pocong” (kuali).

“Sebagai senapang patah yang paling digemari dalam kalangan komuniti, DBS ditransformasikan menjadi senjata yang menakutkan untuk acara ini bagi membolehkan pemain mengalahkan musuh dan menguasai medan pertempuran.

“Set ‘Pocong’ ini berada di tahap Mythic dan hanya boleh diperoleh melalui acara peluang bertuah. Setiap percubaan hanya berharga 10 UC (mata wang tidak dikenali), jadi pemain tidak perlu risau mengenai kos yang terlalu tinggi,” menurut kenyataan itu.

Pengurus Tencent Games (Malaysia) Eugene Chin Yuan Hao berkata beliau sangat teruja dengan perkembangan berkenaan dan mereka sentiasa memberi perhatian kepada komuniti PUBG Mobile mengenai perkara yang membuatkan pemain lebih menikmati permainan itu.

Beliau berkata pengenalan watak-watak terbabit dapat mengukuhkan misi mereka untuk menjadikan PUBG Mobile sebagai permainan video untuk rakyat Malaysia. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top