Podium barakan semangat Izzat Shameer ke Filipina

Podium barakan semangat Izzat Shameer ke Filipina


PEMAIN boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple meletakkan sasaran untuk meraih kilauan pingat pada Kejohanan Boling Padang Asia selepas dipilih semula menyertai Program Podium.

Atlet yang kini berada di kedudukan kelima ranking dunia itu menyifatkan pemilihannya semula ke dalam program elit tersebut sebagai suntikan semangat dalam usahanya memburu kejayaan di kejohanan antarabangsa yang bakal disertai.

“Alhamdulillah, syukur, kami atlet boling padang sangat gembira apabila di masukkan semula dalam Program Podium. Dari segi aspek latihan kami akan kembali semula berlatih sepenuh masa berbanding secara berfasa sebelum ini.

“Pemilihan semula ke dalam Program Podium adalah satu motivasi besar buat saya. Ia memberi dorongan untuk saya terus mengekalkan prestasi terbaik, terutama menjelang kejohanan penting yang semakin hampir termasuk di Filipina,” katanya kepada Sukan Sinar.

Malah jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan pencapaian Izzat Shameer dan Nor Farah Ain membuktikan atlet boling padang negara telah bersedia untuk dikembalikan semula ke dalam Program Podium berdasarkan pencapaian terkini masing-masing.

“Sejujurnya, apabila Izzat Shameer menyatakan hasratnya supaya boling padang dikembalikan semula dalam Program Podium ada asasnya.

“Ini tidak hanya membolehkan atlet boling padang negara mendapat latihan lebih sistematik, tetapi paling penting untuk mereka tampil konsisten meraih lebih banyak keputusan positif bagi mengharumkan nama negara dalam temasya atau kejuaraan pada masa depan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top