Pogacar mengganas, menang ujian masa bukit TdF

Pogacar mengganas, menang ujian masa bukit TdF


Loudenvielle: Tadej Pogacar semakin hampir merangkul gelaran keempat Tour de France selepas memenangi peringkat ke-13, ujian masa mendaki sejauh 10.9 kilometer (km), sekali gus melebarkan jurang pendahuluan keseluruhan melebihi empat minit, hari ini.

Juara bertahan itu mendominasi pendakian sejauh 8km dengan kecerunan 7.9 peratus untuk mencatat masa 23 minit, menewaskan pesaing terdekatnya dari Denmark, Jonas Vingegaard, dengan kelebihan 36 saat, sehari selepas mematahkan cabaran lawannya di pergunungan Pyrenees.

Rakan senegara, Primoz Roglic, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 1:40 minit di belakang Pogacar, manakala pelumba Belgium, Remco Evenepoel, kekal di tangga ketiga keseluruhan meskipun hanya mampu menamatkan saingan 2:39 minit di belakang juara peringkat.

Selepas meraih kemenangan keempat musim ini, pelumba UAE Team Emirates XRG itu kini mendahului Vingegaard dengan kelebihan 4:07 minit, sementara Evenepoel ketinggalan 7:24 minit.

Pelumba Jerman, Florian Lipowitz, terus menunjukkan prestasi konsisten dan hanya enam saat di belakang Evenepoel.

Perlumbaan kini memasuki fasa kritikal dengan beberapa peringkat mendaki menanti, namun Pogacar jelas berada di landasan tepat untuk mempertahankan jersi kuning sehingga ke penamat di Paris.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top