Pogacar terbabit nahas bayangi kemenangan

Pogacar terbabit nahas bayangi kemenangan


Toulouse: Pelumba Norway, Jonas Abrahamsen, muncul juara peringkat ke-11 Tour de France (TdF), manakala juara bertahan, Tadej Pogacar terselamat daripada kecederaan serius biarpun terjatuh hanya 4 kilometer (km) sebelum garisan penamat, semalam.

Insiden itu berlaku apabila Pogacar melanggar tayar belakang pelumba di hadapannya, namun semangat kesukanan dipamerkan Jonas Vingegaard dan Remco Evenepoel yang menunggunya kembali ke kelompok utama mendapat pujian.

Sementara itu, pelumba Ireland, Ben Healy, kekal sebagai pendahulu keseluruhan dan terus menyarung jersi kuning buat hari kedua berturut-turut.

“Saya agak lebam, tapi saya pernah lalui hari lebih teruk. Ia memang di luar jangkaan.

“Hormat yang besar buat mereka. Perlumbaan hampir tamat, tapi saya tak pasti saya mampu kejar semula tanpa mereka menunggu,” kata Pogacar.

Pelumba Slovenia itu turut menjelaskan beliau bimbang akan mengalami kecederaan serius selepas Tobias Johannessen dari pasukan Uno-X secara tiba-tiba memotong di hadapannya.

“Dia potong secara mengejut. Saya nampak kepala saya hampir menghentam tepi jalan dan sangka saya akan cedera. Nasib baik cuma calar sedikit,” katanya.

Menerusi satu hantaran di X, Johannessen yang juga rakan sepasukan Abrahamsen, tampil memohon maaf.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Saya cuba mengejar pergerakan di hadapan dan terlalu rapat. Itu kesilapan saya dan saya harap dia dalam keadaan baik selepas insiden itu,” kata Johannessen.

Dalam pada itu, Pogacar menjangkakan insiden itu bakal menjejaskan prestasinya dalam pendakian ke puncak Hautacam esok.

“Kami sudah bersedia sebagai satu pasukan, tapi selepas terjatuh, memang susah untuk berada di tahap terbaik keesokan harinya,” katanya.

Namun begitu, Pogacar yang juga juara tiga kali itu, disahkan tidak mengalami kecederaan serius selepas pemeriksaan pasukan perubatan.

“Pogacar hanya mengalami lebam dan calar pada lengan kiri dan pinggul, tapi secara keseluruhan dia dalam keadaan baik,” kata Pengarah Perubatan UAE Team, Dr Adrian Rotunno.

Bukan itu sahaja, Ben Healy yang menyarung jersi kuning selepas memenangi peringkat ke-10 di Massif Central dan berada di sebelah Pogacar ketika insiden berlaku, hampir terbabit sama dalam kemalangan.

“Saya tak nampak dia jatuh, sejujurnya saya sedang lihat ke arah lain. Mungkin itu juga puncanya dia terjatuh,” katanya.

Pelumba berusia 24 tahun itu terus mengungguli kedudukan keseluruhan, dengan Pogacar di tempat kedua, 29 saat di belakang, manakala Evenepoel di tempat ketiga, ketinggalan lebih seminit.

Kini, pelumba TdF bersedia menghadapi cabaran sebenar pertama di pergunungan Pyrenees, dengan pendakian ikonik Hautacam dijangka menjadi penentu.

“Saya tak pasti sama ada masih dapat kekalkan jersi kuning esok malam. Cabarannya besar, tapi saya akan berjuang habis-habisan. Apa pun, ini pengalaman luar biasa buat saya,” kata Healy.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top