Pogacar, Vingegaard, Evenepoel uji kuasa mendaki

Pogacar, Vingegaard, Evenepoel uji kuasa mendaki


Paris: Tiga nama besar yang dijangka mendominasi saingan Tour de France (TdF), Tadej Pogacar, Jonas Vingegaard dan Remco Evenepoel akan mula ‘berperang’ sebulan lebih awal apabila perlumbaan lapan hari berbukit, Criterium du Dauphine, membuka tirai.

Dengan empat peringkat berbukit, satu ujian masa individu dan tiga hari terakhir yang mendaki kawasan pergunungan Alps, saingan di Dauphine akan menjadi gambaran awal kepada apa yang bakal berlaku dalam Tour de France selama 21 hari bermula 5 Julai nanti.

Laluan pendek dan mencabar itu menarik penyertaan barisan elit membabitkan 154 pelumba daripada 22 pasukan profesional dunia.

Juara bertahan TdF, Pogacar, yang memenangi perlumbaan klasik satu hari berprestij Tour of Flanders dan Liege-Bastogne-Liege musim bunga lalu, bakal menguji prestasi mendaki sebenar menjelang aksi Grand Tour utama Julai ini.

“Ia satu senarai penyertaan yang hebat di sini,” kata Pogacar daripada pasukan UAE Team Emirates.

“Saya akan cuba menang, tetapi jika keputusan tidak memihak saya, tiada apa perlu panik. Ia akan bantu saya kenal pasti apa yang perlu diperbaiki,” kata pelumba Slovenia berusia 26 tahun yang terkenal dengan gaya perlumbaan menyerang.

Ketika ditanya mengenai pencabar utamanya, pelumba pasukan Visma, Vingegaard, yang kurang beraksi musim ini, Pogacar tetap berhati-hati.

“Jonas nampak dalam prestasi terbaik. Saya rasa dia akan sangat kuat dan saya tidak sabar mahu melihat sejauh mana keupayaan sebenar dia,” katanya lagi.

Ketua perlumbaan pasukan Visma, Grischa Niermann yang turut akan bertindak sebagai pengarah sukan mereka di Dauphine menyifatkan laluan tahun ini sebagai mencabar dan cukup sempurna sebagai persediaan menjelang TdF.

Menurut Niermann, juara Criterium du Dauphine 2024, Matteo Jorgenson dan pemenang Vuelta 2023, Sepp Kuss, dianggap sebagai pemimpin bersama dalam pasukan mereka kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top