Pohang Steelers sedia gempur JDT

Pohang Steelers sedia gempur JDT


Tae-ha dan pemain Pohang Steelers, Han Chan-hee (kanan) ketika sidang media menjelang aksi Zon Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. Foto Bernama

PENGENDALI Pohang Steelers FC, Park Tae-ha, yakin kelab Korea Selatan itu sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa.

Tae-Ha turut menegaskan fokus utama pasukannya adalah untuk menewaskan skuad Harimau Selatan itu meskipun mereka memiliki rekod positif ketika bertemu pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga-M) itu pada tahun 2021.

“Dua kemenangan sebelum ini sudah menjadi sejarah. Perkara yang paling penting ialah perlawanan esok. Kami tahu JDT pasukan yang kuat, tetapi kami telah membuat persiapan rapi dan percaya boleh mencapai keputusan positif walaupun beraksi di gelanggang keramat jaguh bola sepak Malaysia itu.

“Biarpun kami tewas dua perlawanan terakhir sebelum ini, pemain telah mendapat pengajaran berharga daripada kekalahan lalu. Kami bersedia untuk mempamerkan apa yang telah kami persiapkan untuk kembali bangkit.

“Saya percaya pasukan akan beri persembahan terbaik malam esok, ini kerana barisan pemain tampak begitu semangat apabila melakukan persiapan yang rapi malah kami juga sudah ada pengganti yang akan beraksi di posisi Jonathan (Aspropotamitis) yang digantung akibat kad merah,” kata Tae-ha pada Isnin.

Sebagai rekod, Pohang Steelers menewaskan JDT 4-1 pada Jun 2021 diikuti 2-0 pada Julai 2021.

Sebagai rekod, Steelers, yang kini berada di kedudukan kelapan kumpulan Zon Timur itu amat memerlukan kemenangan bagi mengesahkan tempat di suku akhir, apabila hanya lapan pasukan terbaik akan mara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan berdepan rangkaian jentera depan Harimau Selatan, Tae-ha berkata, pemainnya diingatkan untuk mengawasi pemain memakai jersi 9 (Bergson da Silva) dan pemain bernombor 30 (Natxo Insa) yang menjadi nadi JDT.

“Kedua-dua pemain sentiasa beri impak dan menjadi pencetus kebangkitan JDT. Jadi kita kena awasi mereka,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top