hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan teknikal dan pemeriksaan menyeluruh susulan insiden pokok tumbang di Jalan Tun Razak yang meragut nyawa seorang mangsa, semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya kini sedang menjalin kerjasama dengan pakar botani.
“DBKL kini sedang menjalankan siasatan teknikal terperinci bersama Persatuan Arborist Malaysia bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Siasatan berkenaan meliputi keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta aspek lain yang berkaitan,” katanya.
Menurutnya, DBKL juga sedang membuat semakan terhadap rekod pemeriksaan, penyelenggaraan dan sebarang aduan terdahulu di lokasi kejadian.
Mengulas mengenai status pokok yang tumbang, DBKL mendedahkan bahawa ia adalah pokok jenis Peltophorum pterocarpum atau ‘yellow flame’ yang dianggarkan berusia 19 tahun.
“Pokok berkenaan kali terakhir diperiksa dan disenggara pada 15 Mei 2025. Kontraktor yang dilantik oleh DBKL melaksanakan kerja-kerja pengurangan silara (crown reduction) berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Arboris Bertauliah.
“Sebagai langkah segera untuk mengelakkan kejadian berulang, DBKL mula menjalankan pemeriksaan terhadap pokok matang dan berpotensi mendatangkan risiko di jalan-jalan utama ibu kota.
“Tumpuan diberikan kepada kawasan yang mempunyai pergerakan trafik dan orang awam yang tinggi,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan awal yang dijangka mengambil masa selama dua bulan setengah atau 10 minggu itu merangkumi Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Datuk Keramat dan sebahagian Jalan Tun Razak.
“Seramai lapan pasukan yang turut merangkumi lima orang arboris telah digerakkan. Sebagai langkah pencegahan jangka sederhana pula, DBKL bakal memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mengawal selia pokok di ibu kota.
“DBKL sedang menunggu kelulusan SIRIM bagi penggunaan sebanyak 400 unit pengesan pokok yang akan dipasang secara berperingkat di lokasi-lokasi hotspot terlebih dahulu.
“Pengesan berkenaan akan digunakan untuk memantau keadaan pokok dan memberikan bacaan awal berhubung perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya termasuk keadaan tanah, kelembapan, pergerakan struktur serta kesan cuaca buruk,” katanya.
Katanya, fasa pertama bagi pemasangan pengesan itu dijangka membabitkan empat lokasi iaitu Jalan Bangsar, Dataran Merdeka, Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan.
“Di samping itu, DBKL menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan, selain akan berhubung dengan keluarga mangsa bagi membantu urusan berkaitan tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
“DBKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa danberharap individu lain yang terbabit dalam kejadian menerima rawatan dan bantuan sewajarnya,”katanya.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang di depan Dua Residensi berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira 10.20 malam
Mangsa berusia 43 mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan dan pendarahan dalaman di bahagian dada.
© New Straits Times Press (M) Bhd





