am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran dadah bunga ganja seberat 112.2 kilogram bernilai RM3.72 juta yang berselindung di inap desa di Seberang Perai Tengah dan Seberang Jaya di sini, menerusi operasi dua hari yang berakhir semalam.
Menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu, empat lelaki berusia 31 hingga 39 tahun ditahan termasuk seorang warga Vietnam yang bertindak sebagai ‘transporter’.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketika serbuan itu, dua suspek pertama ditahan dalam bilik hotel di Bukit Mertajam, manakala seorang lagi di lobi bangunan.
Katanya, pemeriksaan menemukan dadah dalam beg kanvas yang mengandungi sembilan plastik lutsinar ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja dan lima paket plastik lutsinar tumbuhan kering bunga ganja.
“Hasil soal siasat, polis menahan suspek warganegara Vietnam di Seberang Jaya yang membawa kepada pembongkaran sebuah rumah inap desa yang dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan tiga bagasi besar mengandungi 111 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja dengan jumlah berat 98.7 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.
Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, siasatan mendapati lelaki Vietnam terbabit bekerja di syarikat minyak dan gas berpangkalan di Thailand dan memasuki negara ini atas alasan urusan kerja.
Katanya, suspek dipercayai sudah dua kali membawa masuk bekalan dadah dari negara jiran dengan upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap kali penghantaran.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak Mac itu menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi transit sebelum dadah berkenaan diagih bagi pasaran sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah, manakala semakan lanjut menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau,” katanya lagi.
Menurut Mohd Alwi, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 230,000 penagih dadah jika ia terlepas di pasaran.
“Polis turut menyita tiga kenderaan membabitkan Toyota Alphard yang disewa secara harian oleh lelaki Vietnam, Honda City, motosikal Yamaha Y16ZR serta wang tunai RM1,300 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta mencecah RM3.93 juta dan kesemua suspek direman tujuh hari hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd