Polis buru 4 lelaki samun bersenjata api di Bukit Selambau

Polis buru 4 lelaki samun bersenjata api di Bukit Selambau


Sungai Petani: Polis memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.50 tengah hari yang memaklumkan insiden samun menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

“Sebuah Honda City dilihat memasuki kawasan premis. Tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam turun dari kereta dan meluru ke arah beberapa pekerja di hadapan premis itu, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan.

“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top