am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai memukul guru sebuah sekolah memandu di Muar dalam insiden di perkarangan Balai Polis Parit Sulong, petang tadi.
Kejadian berlaku ketika guru lelaki berusia 56 tahun memasuki perkarangan balai polis terbabit untuk membuat laporan selepas diekori suspek yang menunggang motosikal.
Difahamkan, sebelum kejadian guru lelaki terbabit sedang memandu kereta dengan membawa empat pelajarnya dari Muar ke Taman Mutiara.
Sebaik tiba di Parit Tegak, Jalan Muar-Batu Pahat, suspek secara tiba-tiba menjerit sambil memukul kereta tanpa sebab.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, polis mengesyaki suspek memakai cincin di jari ketika memukul mangsa hingga cedera.
Susulan kejadian itu, Shahrulanuar berkata, polis giat memburu suspek yang sudah melarikan diri.
“Mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 1.48 saat tular di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal mengekori kereta dipandu mangsa sambil menjerit.
Perbuatan suspek bagaimanapun dirakam salah seorang pelajar. Guru terbabit sempat mengarahkan semua pelajar turun dan melarikan diri ke rumahnya manakala dia memandu ke Balai Polis Parit Sulong untuk membuat laporan.
© New Straits Times Press (M) Bhd