Kabul: Polis Afghanistan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1,200 ekor biri-biri keluar dari wilayah selatan Kandahar, menurut Jabatan Penerangan dan Kebudayaan wilayah itu pada Ahad, lapor Xinhua.
Ternakan berkenaan dibawa secara haram melalui daerah Spin Boldak dan Registan menuju ke sebuah negara jiran, menurut jabatan itu.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa ini adalah kejadian kedua seumpamanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan pasukan keselamatan sebelum ini berjaya menghalang cubaan menyeludup 2,400 ekor biri-biri dari Kandahar dua minggu lalu.
Penyeludupan haiwan kekal menjadi cabaran berterusan di kawasan sempadan Afghanistan, apabila penyeludup cuba meraih keuntungan dengan menjual ternakan ke luar negara.
Pegawai mempergiat rondaan antiseludup sebagai sebahagian daripada kempen lebih luas untuk membanteras perdagangan rentas sempadan secara haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd