Polis Johor buka kertas siasatan kibar bendera China dalam perarakan

Polis Johor buka kertas siasatan kibar bendera China dalam perarakan


JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden tular pengibaran bendera China oleh sekumulan individu dalam satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa di Sentosa, di sini, dikatakan pada 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan mengesahkan, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu semalam.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Kesiksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis akan memanggil penganjur yang terlibat serta saksi-saksi untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan tersebut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan -072182323.

Difahamkan program berkenaan dianjurkan sebuah pertubuhan kebudayaan, membabitkan yang lebih penyertaan dari 10 buah negara.

Semalam, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendedahkan kejadian itu turut berlaku di Teluk Intan, Perak, Khamis lalu.

Nurul Islam mendakwa, perarakan itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker DUN Negeri Melaka, Kerk Chee Yee.

Justeru, beliau berharap agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dapat memberikan penjelasan mengenai insiden yang berlaku itu.

“MB (Menteri Besar) Johor harap tak jawab ‘apa isunya?’ macam MB Perak lah. Buat malu orang Malaysia,” katanya.

Terdahulu, polis Perak dalam kenyataan media pada Jumaat lalu memaklumkan, pihaknya telah memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berhubung video perarakan mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada malam Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dalam kenyataannya berkata, perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Difahamkan pihak penganjur sudah tampil memohon maaf susulan video tular perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia itu.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua dilaporkan mendakwa, perbuatan itu dilakukan peserta dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

Sementara itu, Chee Yee mempersoalkan kenapa perkara berkenaan dijadikan isu.

Katanya, beliau datang dalam program itu setelah dihadiri ratusan delegasi luar negara yang turut serta seperti China, Vietnam, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura, Macau dan Indonesia.

“Perarakan kebudayaan di Johor Bahru ini ada delegasi dari Thailand, Vietnam dan China yang kibarkan bendera masing-masing, apa masalahnya kalau mereka yang dijemput kibarkan bendera mereka.

“Kenapa bendera Vietnam dan Thailand seperti terkandung dalam hantaran saya di media sosial tidak menjadi isu kepada mereka yang membangkit perkara ini?

“Malaysia adalah negara yang meraikan kepelagaian, kita harus merasa bangga apabila program kebudayaan kita disertai oleh delegasi dari luar negara,” ujarnya dalam satu hantaran video menerusi Facebook miliknya.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top