ALOR SETAR: Polis Kedah akan meningkatkan kawalan bagi memastikan kelancaran perayaan Thaipusam yang dijadual berlangsung selama empat hari, bermula 31 Januari hingga 3 Februari ini di Sungai Petani.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 50,000 hingga 80,000 penganut Hindu termasuk pengunjung dari luar dijangka hadir sepanjang sambutan di lokasi tersebut.
“Bagi memastikan keselamatan, seramai 494 anggota polis ditugaskan, termasuk 70 pegawai kanan dan 424 pegawai rendah. Tugasan utama meliputi kawalan lalu lintas, keselamatan harta benda serta pemantauan keseluruhan acara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan agar mereka yang berkunjung ke lokasi sambutan sentiasa mengambil langkah berhati-hati termasuk memastikan barangan berharga masing-masing dijaga dengan rapi.
“Berdasarkan pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan jenayah yang sedikit mencacatkan perayaan kebiasaannya berkaitan harta benda. Jadi, penganut Hindu dan pengunjung disaran memastikan kenderaan dikunci, tidak meninggalkan barangan berharga di tempat tersembunyi dan merancang perjalanan dengan teliti,” katanya.
Tambah beliau, penutupan jalan secara berperingkat melibatkan Jalan Sekerat, Jalan Pasar dan Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil juga akan dilaksanakan bagi memberi laluan untuk perarakan upacara pal kudam (membawa susu), perarakan kavadi dan Chariot.
Pada 21 Januari lalu, kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa pada 1 Februari ini bersempena sambutan Thaipusam di Kedah yang dipersetujui dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. -UTUSAN






