am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Polis Kontinjen Terengganu memberi amaran keras kepada pengunjung yang dilihat masih berdegil walaupun nasihat dan amaran dikeluarkan bagi mengelak mereka melakukan aktiviti di pantai serta kawasan rekreasi di seluruh negeri.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, amaran keras dikeluarkan berikutan insiden lemas yang berlaku di Pantai Sura Tengah Dungun, pagi tadi.
Menurutnya, insiden membabitkan dua mangsa lelaki dan wanita berumur 30-an di mana seorang mangsa ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang.
Katanya, musim Monsun Timur Laut (MTL) adalah tempoh yang tidak sesuai melakukan aktiviti di air berikutan ombak dan arus yang sangat kuat.
“Justeru peringatan dan amaran keras diberi sekali lagi kepada semua pengunjung supaya tidak mandi manda terutama di laut berikutan ombak dan arus yang sangat kuat ketika ini.
“MTL menjadi tarikan orang ramai hadir ke kawasan pantai dan saya sekali lagi menasihati walaupun sudah banyak kali dikeluarkan amaran namun masih ada individu yang mengambil langkah tidak endah.
“Orang ramai diminta berhati-hati dan jangan menghampiri gigi air di kawasan pantai ketika ombak besar dan selaku ketua Polis negeri saya ingatkan ingatkan sekali lagi patuhi amaran yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, selain pengunjung pantai beliau turut menasihatkan nelayan yang keluar menangkap ikan supaya mengutamakan keselamatan.
“Begitu juga kepada nelayan terutama yang menggunakan bot kecil, mereka disaran lebih berhati-hati dan memantau keadaan cuaca setiap hari.
“Pastikan bawa jaket keselamatan bersama ketika keluar kelaut kerana kita faham laut adalah punca rezeki mereka namun nyawa lebih berharga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





