LUMUT: Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian pecah dan mencuri wang tabung derma Masjid An-Nasriyah, Jalan Raja Omar Simpang Empat, Sitiawan, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, maklumat kejadian itu dilaporkan kepada polis pada pukul 7.30 pagi oleh wakil masjid selepas insiden tersebut disedari oleh siak ketika mahu menunaikan solat Subuh.
Katanya, berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati dua lelaki memakai penutup muka telah memecah masuk masjid pada tarikh yang sama sekitar pukul 4.50 pagi.
“Siasatan mendapati dua suspek menggunakan pakaian bertutup kepala berwarna gelap telah masuk ke dalam ruang solat utama dengan mengumpil pintu cermin sehingga pecah.
“Suspek kemudian mengumpil tiga tabung masjid sebelum melarikan wang tunai yang terdapat di dalamnya. Jumlah kerugian melibatkan wang tabung dan kerosakan harta benda dianggarkan kira-kira RM1,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Hafiz Rahimi Mohamad Hilmi di talian 010-8239891.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-6828005 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN






