Suasana di pekarangan Hospital KPJ Sri Manjung pada Sabtu, menunggu proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham selesai. FOTO: Facebook Zambry Abd Kadir
IPOH – Polis mengesahkan bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.23 malam ketika menerima rawatan di Hospital KPJ Sri Manjung.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Dalam kejadian itu, Firos, 53, dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika perlawanan membabitkan legenda Pulau Pinang menentang legenda Kedah sedang berlangsung, menyebabkan perlawanan dihentikan.

Allahyarham menyertai kejohanan berkenaan bersama pasukan veteran Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan membabitkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang selepas solat Zohor.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, beliau menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham dan menyifatkan pemergian Firos sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak negara.
“Saya bergegas ke hospital sebaik menerima perkhabaran duka ini dan berkesempatan menemui keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral.
“Saya telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan yang diperlukan disalurkan kepada keluarga Allahyarham, termasuk urusan penghantaran jenazah dan pengebumian agar semuanya dipermudahkan,” kongsinya.