am@hmetro.com.my
Melaka: Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki tempatan yang sudah reput di dalam kereta di kawasan letak kenderaan Perbadanan Melaka (MCorp), MITC, Ayer Keroh, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima maklumat kejadian pada 1.48 tengah hari, mendakwa kereta Nissan Almera yang diletakkan di kawasan itu mengeluarkan bau busuk dan dikerumuni lalat.
Katanya, pasukan daripada Balai Polis Ayer Keroh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 IPK Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat telah reput.
“Turut ditemui sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Ayer Keroh di talian 06-232 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bau busuk yang pada awalnya disangka bangkai kucing membawa kepada penemuan mayat lelaki berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






