suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan kolej kediamannya, di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku jam 3.15 petang.
“Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.25 petang oleh Pegawai Perubatan PPUM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis masih berada di lokasi untuk menjalankan siasatan tempat kejadian, manakala bedah siasat akan dilakukan malam ini oleh Jabatan Patologi PPUM.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang mahasiswa UM maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman di universiti itu, petang ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd