July 27, 2024

Polis Selangor tumpu 30 kawasan kerap berlaku nahas

Polis Selangor tumpu 30 kawasan kerap berlaku nahas


SHAH ALAM – Polis akan memberi tumpuan kepada 30 kawasan “black spot” yang dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kemalangan di Selangor sepanjang Ops Selamat 2024 bermula 8 hingga 13 April ini.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan menumpukan penguatkuasaan dan pemantauan dengan rondaan lebih kerap di lokasi terbabit.

“Sepanjang penugasan Ops Selamat ini, polis akan membuat rondaan di setiap daerah yang melibatkan hotspot dan blackspot.

“Terdapat 30 lokasi blackspot iaitu lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan di 14 daerah di Selangor,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan kempen keselamatan jalan raya atau Ops Selamat 2024 di kawasan Rehat Elmina Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) Arah Utara.

Menurut Hussein, bagi tujuan itu, sebanyak 11 lokasi operasi perangkap had laju akan diadakan di tujuh lokasi Ops Lancar sepanjang musim perayaan ini.

“Operasi ini akan melibatkan 843 anggota yang di mana 83 pegawai dan 760 anggota trafik.

“Sebanyak 40 unit kereta dan 89 unit motosikal trafik dalam Ops Selamat 2024,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menghubungi bilik gerakan dan talian hotline jika berlaku kecemasan dan kemalangan semasa musim perayaan kali ini.

“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bukit Aman di talian 03-22663356 atau Bilik Gerakan Trafik Selangor (03-55100559) atau hotline Command Centre Selangor (03-55145206).

“Kepada semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan buat pemeriksaan berkala sebelum merancang perjalanan.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi had laju, menunjukkan sikap berhemah dan bertolak ansur, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan menggunakan tali pinggang keselamatan.

“Elakkan memandu dalam keadaan mengantuk, mematuhi lampu isyarat dan peraturan lalulintas, sesuaikan pemanduan mengikut keadaan jalan dan juga cuaca serta merancang perjalanan supaya tidak terburu-buru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top