hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelanggan perlu melayari laman web khas untuk memilih ‘teman’ sebelum membuat tempahan dan diberikan bilik.
Cara itu digunakan dalam kegiatan persundalan yang dikesan di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, sebelum ia diserbu polis dalam Op Noda KL Strike Force pada 10.18 malam Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Katanya, premis dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran dan hasil serbuan menahan tujuh wanita warga asing disyaki pelacur.
“Mereka terdiri daripada lima warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Thailand dan Vietnam berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Antara barangan dirampas ialah 15 keping kondom, tujuh helai tuala mandi, telefon bimbit (10), tisu basah (1), botol gel pelincir (3) dan dua kad akses,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, hasil siasatan awal mendapati semua wanita warga asing berkenaan mengaku bekerja sebagai pelacur dan pelanggan perlu melayari laman web untuk memilih dan kemudian menghubungi nombor telefon untuk membuat tempahan.
“Kemudian pelanggan akan diberikan nombor bilik dan bayaran dibuat kepada pelacur selepas selesai perkhidmatan. Pelanggan perlu membayar RM250 untuk perkhidmatan satu ‘shot’.
“Semua pelacur berkenaan tinggal di dalam bilik hotel berkenaan dan daripada bayaran RM250, wanita itu akan menerima RM120, manakala baki RM130 akan diberikan kepada penjaga.
“Kegiatan itu beroperasi daripada 12 tengah malam hingga 4 pagi setiap hari,” katanya yan memaklumkan tahanan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
© New Straits Times Press (M) Bhd