July 27, 2024

Polis siasat bayi 17 bulan didera pengasuh tadika

Polis siasat bayi 17 bulan didera pengasuh tadika


KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan aduan seorang pemandu e-hailing yang mendakwa anak perempuannya berusia 17 bulan menjadi mangsa dera pengasuh di sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)di Bandar Mahkota Chreras, Kajang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada 29 Mei lalu jam lebih kurang 7.36 malam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima satu laporan polis dari pengadu seorang lelaki berumur 26 tahun bersabit kejadian disyaki anak perempuan pengadu berusia 1 tahun 5 bulan telah didera oleh pengasuh di sebuah tadika di kawasan Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Katanya, pengadu mendakwa pada 28 Mei lalu jam lebih kurang 7.30 malam semasa mahu mengambil anaknya di pusat tadika tersebut telah dimaklumkan oleh seorang guru tadika di situ bahawa anak perempuannya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang guru lain di tadika tersebut.

“Siasatan mendapati kanak-kanak itu dikasari guru semasa disuap makan dengan ditarik rambut serta dipicit hidungnya sehingga mengakibatkan hidung anak pengadu mengalami sedikit kecederaan.

“Oleh sebab tidak berpuas hati dengan layanan dan perbuatan guru itu, pengadu telah memberhentikan daripada menghantar anaknya ke tadika tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan dan rawatan yang telah dibuat ke atas mangsa di hospital mendapati pegawai perubatan mengesahkan anak pengadu hanya mengalami ‘soft tissue injury’.

“Siasatan polis mendapati tadika itu telah beroperasi hampir tiga bulan tetapi disyaki masih belum mempunyai sebarang lesen pengoperasian tadika yang sah.

“Tadika itu menguruskan sembilan kanak-kanak buat masa ini serta tiga orang penjaga merangkap sebagai guru,’ ujar beliau.

Tegas Mohd Zaid, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Katanya, pengasuh yang didakwa melakukan perbuatan itu telah pun dipanggil polis untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk mendapatkan nasihat lanjut.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-9788804 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang bagi membantu siasatan kami,” ujar beliau.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top