Polis siasat kes pemandu lori pukul pemandu bas di Gerik

Polis siasat kes pemandu lori pukul pemandu bas di Gerik

Polis siasat kes pemandu lori pukul pemandu bas di Gerik


am@hmetro.com.my

Gerik: Polis mengesahkan berlaku kekasaran fizikal susulan kejadian pergeseran antara sebuah bas dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 28.8 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, susulan kekasaran terhadap pemandu kedua bas jenis Scania itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera selain di bawah Rule 10 LN 166/59.

Abdul Samad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 4.46 petang Selasa lalu mengenai insiden yang berlaku jam 1.30 tengah hari, hari yang sama.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Lumut, Perak menghala Terengganu dengan membawa 20 penumpang bergesel dengan sebuah lori jenis Isuzu dari arah Jeli ke Gerik ketika melalui satu selekoh.

Ketika kejadian katanya, bas dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun manakala pemandu kedua bas adalah lelaki berusia 32 tahun.

Menurutnya, pergeseran itu menyebabkan bas mengalami kerosakan cermin sisi manakala lori yang difahamkan membawa muatan ayam dipandu lelaki berusia 38 tahun mengalami kerosakan tingkap sisi kanan.

Katanya, bagaimanapun bas itu meneruskan perjalanan memandangkan kawasan itu tidak sesuai untuk berhenti menyebabkan pemandu lori bertindak menghubungi beberapa lagi pemandu untuk bantuan menahan bas terbabit.

“Bas itu ditahan kira-kira enam kilometer menghala Hentian Titiwangsa, di sini. Pemandu kedua bas keluar dari kenderaan sebelum pemandu lori yang menghubungi pemandu lori lain bertindak menumbuk pipi kanan.

“Ekoran kejadian itu pemandu kedua bas terbabit menerima rawatan di Hospital Gerik serta sudah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditanya sama ada pergeseran antara bas dan lori ayam itu berlaku disebabkan oleh lori yang masuk laluan bas atau bas dipandu laju seperti dakwaan serta visual tular, Abdul Samad berkata, ia masih dalam siasatan.

Menurutnya, kedua-dua pihak bas serta lori sudah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video yang tular kerana dapat mengelirukan masyarakat serta mengganggu siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, hangat diperkatakan mengenai video serta keterangan di media sosial mengenai kemalangan bas dan lori ayam apabila berlaku pergaduhan antara beberapa individu dipercayai pemandu lori dengan pemandu bas.

Turut ditularkan adalah rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) yang memaparkan detik pergeseran di kawasan selekoh apabila kelihatan lori hampir memasuki lorong bas yang datang dari arah bertentangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top