Polis siasat laungan Islamofobia penyokong

Polis siasat laungan Islamofobia penyokong


Madrid: Pihak berkuasa Sepanyol melancarkan siasatan terhadap insiden laungan berunsur Islamofobia dan xenofobia yang mencemari aksi persahabatan antara Sepanyol dan Mesir di Stadium RCDE, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berakhir 0-0 itu, sekumpulan penyokong didakwa melaungkan kata-kata menghina agama Islam, sekali gus mencetuskan kecaman meluas daripada pemain, pegawai bola sepak dan kerajaan Sepanyol.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal yang juga beragama Islam, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima.

“Menjadikan agama sebagai bahan jenaka hanya menunjukkan kejahilan dan sikap rasis. Bola sepak adalah untuk dinikmati, bukan untuk menghina sesiapa,” katanya menerusi media sosial.

Menteri Kehakiman Sepanyol, Felix Bolanos turut mengecam insiden berkenaan dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasisme.

Persatuan Bola Sepak Mesir juga menyifatkan kejadian itu sebagai perbuatan jijik dan tidak boleh diterima.

Malah, mesej amaran mengenai larangan rasisme turut dipaparkan di skrin stadium sepanjang perlawanan, namun laungan berkenaan dilaporkan masih berterusan.

Polis wilayah Catalonia, Mossos d’Esquadra mengesahkan siasatan telah dibuka, namun tidak mendedahkan butiran lanjut setakat ini.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan tingkah laku sedemikian tidak mewakili semangat sebenar bola sepak.

“Ia tidak boleh diterima. Individu seperti ini perlu diasingkan daripada masyarakat,” katanya.

Insiden itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai isu rasisme dalam bola sepak Sepanyol yang masih belum menemui penyelesaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top