hafidzul@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis menjalankan siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini, susulan satu video yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya terkesan video berdurasi 56 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada jam 10 pagi hari ini.
“Hasil semakan mendapati video berkenaan memaparkan insiden pergaduhan yang dipercayai berlaku semasa pesta berkenaan.
“Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Damansara dan siasatan kini dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrulnizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai, Balai Polis Damansara, Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd