Polis sita kayu gaharu, peralatan bernilai lebih RM106 juta di Melaka

Polis sita kayu gaharu, peralatan bernilai lebih RM106 juta di Melaka


Melaka: Polis menyita pelbagai kayu gaharu dan peralatan bernilai lebih RM106 juta dalam operasi bersepadu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dan sebuah rumah di Ayer Keroh Heights, bulan lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan selepas bertindak hasil risikan pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, 31 Julai lepas.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua premis menjalankan aktiviti pemilikan, penyimpanan, pemprosesan dan urus niaga kayu gaharu secara tidak sah.

“Kayu gaharu ditemukan disyaki spesies pokok aquilaria malaccensis atau agarwood yang dikawal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta peraturan-peraturan hasil hutan berkaitan yang dikuatkuasakan Jabatan Perhutanan,” katanya pada sidang media di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah JKDNKA Bukit Aman SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi.

Beliau berkata antara dirampas ialah 566 guni kayu karas seberat kira-kira 12,178 kilogram (kg), 277 guni serbuk kayu karas (5,783kg) dan 10 kotak kayu karas (100kg).

Turut dirampas, kayu karas jenis damar minyak (2,585.2kg), kayu pelbagai spesies dengan isi padu 43.84 meter padu, 167 tunggul kayu disyaki kayu import, pelbagai mesin dan peralatan memproses kayu, alat penimbang elektronik serta peralatan penyulingan minyak.

Beliau berkata dua lelaki warga Myanmar dipercayai tidak memiliki dokumen sah turut ditahan di kilang itu dan seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun yang merupakan pemilik rumah.

“Siasatan mendapati premis itu tidak pernah berdaftar atau memohon lesen daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mahupun Jabatan Perhutanan Melaka dan tiada sebarang kelulusan pemindahan atau pemilikan hasil hutan dikeluarkan untuk aktiviti dijalankan di premis itu.

“Premis itu dipercayai beroperasi secara tidak sah lebih dari setahun dan hasil dijual untuk pasaran tempatan selain turut eksport dengan bekalan dipercayai diperoleh dari Melaka serta diimport dari seluruh negara,” katanya.

Zulkhairi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan berikutan pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kehilangan pokok gaharu di kawasan hutan sekitar Melaka tahun ini dan kayu dicuri itu disyaki dijual serta diproses di premis haram.

Beliau berkata operasi bersepadu berkenaan melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

Kesalahan dikesan antaranya mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1986 serta pelbagai kesalahan lain seperti pelanggaran lesen perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top