Polis tahan 57 PATI, seorang ‘transporter’ wanita tempatan

Polis tahan 57 PATI, seorang ‘transporter’ wanita tempatan


LUMUT: Seramai 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang wanita tempatan diberkas dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan polis di sekitar Segari dan Lekir, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, dalam operasi pada 4 April lalu, seramai 40 warga Indonesia dipercayai PATI ditahan di Jalan Besar Segari ke Batu Hilal Segari.

Katanya, turut ditahan, seorang wanita warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ bagi membawa masuk kesemua PATI berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pada 14 April kira-kira pukul 2.30 pagi, polis daerah Manjung dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Kampung Acheh telah mempergiat operasi membanteras PATI di kawasan pesisir pantai.

Menurut beliau, hasil operasi itu, seramai 10 warga Indonesia ditahan di kawasan persisiran pantai Kampung Sungai Lombong, Lekir selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu, tujuh lagi warga Indonesia turut ditahan di lokasi berasingan pada hari yang sama atas kesalahan serupa,” katanya.

Hasbullah berkata, pihak polis memandang serius isu penyeludupan migran dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam melindungi PATI.

Tegasnya, usaha membanteras sindiket berkaitan PATI akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau 017-6828005,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top