Nainggolan ketika menyarung jersi AS Roma dalam Serie A Itali. Foto: Agensi
BEKAS pemain Belgium, Radja Nainggolan ditahan pada Isnin sebagai sebahagian daripada siasatan kes pengedaran kokain melalui pelabuhan Antwerp, kata pejabat pendakwa raya Brussels.
Polis sebelum itu menahan beberapa suspek termasuk pemain bola sepak berkenaan selepas beberapa siri serbuan di seluruh negara, kata pejabat itu.
“Siasatan itu membabitkan dakwaan pengimportan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah, melalui pelabuhan Antwerp, dan pengedaran semula kokain di Belgium.
“Penggeledahan rumah kebanyakannya dilakukan di wilayah Antwerp dan di Brussels.
“Kami boleh mengesahkan bahawa pemain bola sepak RN (Radja Nainggolan) telah ditahan dalam konteks kes itu. Memandangkan soal siasat sedang dijalankan jadi tiada kenyataan lanjut buat masa ini,” tambah pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Nainggolan yang berusia 36 tahun kelahiran Antwerp, keluar persaraan minggu lalu bagi menyertai kelab Divisyen Dua Belgium, Lokeren-Temse — sebelum ini menyaksikannya bermain 30 perlawanan dan menjaringkan enam gol untuk pasukan Belgium.
Setelah bermain untuk kelab Itali, Cagliari, Inter Milan dan AS Roma, dia tidak mempunyai kelab sejak musim panas lalu sebelum menandatangani kontrak dengan Lokeren minggu lalu.