Polis tahan pelajar lelaki tumbuk pengawal keselamatan

Polis tahan pelajar lelaki tumbuk pengawal keselamatan


hafidzul@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Polis menahan pelajar lelaki kerana menumbuk pengawal keselamatan selepas nyaris terbabit dalam kemalangan di Pandan Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, ketika mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan ke Pandan Jaya.

“Mangsa membuat pusingan U di bawah jambatan dan tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha LC ditunggang suspek berada di laluan sama sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

“Mangsa sempat mengelak, namun suspek memarahi sebelum bertindak menolak serta menumbuk dada dan kepala pengawal keselamatan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, mangsa dipercayai tidak melawan dan hanya mendiamkan diri saja sebelum kejadian itu dileraikan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Susulan itu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (D7) Ampang Jaya berjaya menahan lelaki berusia 19 disyaki terbabit dalam kes itu sekitar jam 6.50 petang kelmarin.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau. Suspek direman selama tiga hari sehingga esok,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 (sengaja mendatangkan kecederaan) dan 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan secara jenayah.

“Suspek akan dituduh esok di Mahkamah Ampang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top