am@hmetro.com.my
Tawau: Polis menahan seorang pemandu yang melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan di Jalan Mawar Kampung Jawa dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berumur 22 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat pegawai perubatan yang memaklumkan suspek melarikan diri semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini, pada 2 petang.
“Suspek dipercayai melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dia akhirnya berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diketuai Asisten Superintendan Joan Lee di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, kira-kira 7 malam hari sama,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.
Jasmin berkata, lelaki terbabit sebelum itu mendapat rawatan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan apabila Proton Gen-2 yang dipandunya bersama tiga penumpang hilang kawalan sebelum terbabas.
Bagaimanapun katanya, tiga penumpang iaitu remaja perempuan berumur antara 14 hingga 16 tahun itu dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd