Polis tahan wanita disyaki campak bayi dari tingkat 10

Polis tahan wanita disyaki campak bayi dari tingkat 10


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis hari ini menahan wanita tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai mencampak bayi perempuan baru dilahirkannya dari tingkat 10 flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini sehingga menyebabkan kematian pada 2 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek ditahan pada 12 tengah hari di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, tangkapan dibuat berdasarkan keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan yang mengaitkan suspek dengan kejadian membuang bayi malang itu yang masih bernyawa dari tingkat 10.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis menerima laporan penemuan mayat bayi perempuan baru lahir di kawasan parkir kenderaan flat itu pada 2.40 petang, 2 Mei lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut dicampakkan dari tingkat 10 dan beberapa keterangan saksi telah dirakam sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,” katanya.

Katanya, semakan rekod turut dibuat yang mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.

Beliau menasihati orang ramai tidak menyebar maklumat tidak sahih berkenaan kes dan mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menjurus kepada perbuatan jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top