Polis Terengganu rampas 200kg dadah bernilai RM6 juta

Polis Terengganu rampas 200kg dadah bernilai RM6 juta


SETIU: Polis Terengganu berjaya merampas sejumlah 200 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM6 juta di Kampung Guntung Luar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, dadah tersebut ditemukan di dalam sebuah Toyota Vellfire yang terbabas di jalan hujung Kampung Guntung dalam percubaan melarikan diri daripada anggota Unit Peronda Polis (MPV) ketika melalui jalan Persekutuan dari Kelantan ke Kuala Terengganu .

“Kira-kira pukul 11. 45 pagi kelmarin, anggota unit MPV mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bintang sebelum bertindak mengekorinya sejauh kira-kira lima kilometer dan menemukan Toyota Vellfire itu ditinggalkan pemiliknya selepas mengalami kemalangan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan lapan guni berwarna putih mengandungi 25 bungkusan ‘teh Guanyinwang’ yang dipercayai dadah jenis syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Khairi, susulan itu, Unit Anjing Pengesan PDRM (K9) digunakan bagi mengesan suspek terlibat, selain pengambilan cap jari oleh unit forensik.

Polis percaya dadah tersebut dibawa masuk dari sempadan negara jiran dengan menggunakan laluan Kelantan-Terengganu untuk dipasarkan di Lembah Klang.

Katanya, jumlah dadah seberat 200 kilogram itu boleh digunakan lebih 200,000 penagih dadah dan ia merupakan rampasan terbesar polis Terengganu pada tahun ini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu turut mendapati nombor casisnya telah dirosakkan, manakala nombor pendaftaran palsu dan didaftarkan atas sebuah syarikat beralamat di Wilayah Persekutuan.

“Suspek dipercayai lebih daripada seorang dan kini kita sedang giat menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah berbahaya 1952. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top