am@hmetro.com.my
Kuching: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti Gas Asli Cecair (LNG) di Bintulu yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, mesej ugutan berkenaan dihantar melalui nombor telefon yang didaftarkan di Indonesia, namun motif sebenar di sebalik ancaman itu masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.
“Polis memandang serius perkara ini kerana fasiliti LNG Bintulu adalah salah satu sasaran penting keutamaan negara.
“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti individu yang bertanggungjawab membuat ugutan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, tahap kawalan keselamatan di kawasan LNG Bintulu telah dipertingkatkan ke tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan orang awam dan infrastruktur strategik negara tidak terjejas.
Beliau menegaskan, keadaan semasa adalah terkawal dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Menurutnya, sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut berkaitan insiden itu boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan memaklumkan kawalan terhadap semua fasiliti LNG di Bintulu, diperketatkan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.
MKN memaklumkan langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman itu.
MKN juga memaklumkan agensi keselamatan negara kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan terhadap ancaman keselamatan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






