am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sudah menerima tiga laporan berhubung dakwaan kes kanak-kanak asuhan dikurung di sebuah taska, di sini, seperti tular sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, semua laporan polis diterima sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.
“Polis sudah menerima laporan berkaitan anak dikurung seperti yang tular di media sosial.
“Siasatan mendapati, kanak-kanak lelaki yang dikurung itu berumur 11 tahun dan dipercayai dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak berumur lima tahun.
“Setakat ini ada tiga laporan dan Caprice juga diambil rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay turut memaklumkan mengenai serahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kes terbabit.
“Ada yang serah CCTV dan rampasan akan dibuat. Kes masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak (AKK) 2001,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial menunjukkan keadaan taska dan perbuatan penjaga terhadap anak asuhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






