hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Polis menegaskan setakat ini tiada petunjuk permainan mercun menjadi punca letupan dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, di sini, namun siasatan penuh masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan ada pihak yang bermain mercun berhampiran lokasi insiden kebakaran pada 31 Mac lalu.
beliau berkata, laporan itu mendakwa ada orang bermain mercun pada malam berkenaan, bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak melihat ia boleh menyebabkan berlaku letupan.
“Kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dan kita sedang mencari apa punca letupan itu,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerima 642 laporan polis berhubung insiden berkenaan dan sudah merakam 118 percakapan saksi membabitkan pelbagai pihak.
Katanya, mereka yang dipanggil itu termasuk 15 daripada pihak kontraktor, subkontraktor dan pekerja.
Sementara itu, beliau berkata, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuat contra flow laluan lintas di hadapan khemah PKTK dari arah Kingsley ke Petronas bermula jam 12 tengah malam ini hingga selesai Op Gas.
Katanya, justeru pengguna lalu lintas dinasihatkan mematuhi arahan petugas dan papan dipaparkan serta hanya kenderaan petugas dan penghuni yang mempunyai pas khas saja dibenarkan masuk.
“Sekiranya pengguna jalan raya tahu jalan alternatif, sila guna jalan berkenaan bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd