MIRI: Sekumpulan penyamun yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata di sini dari tahun lepas sehingga tahun ini tumpas selepas mereka menyamun satu keluarga di Taman Viana, Jalan Bakam pada 19 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 38 hingga 57 tahun yang ditangkap dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan.
Katanya, polis menerima laporan kes samun melibatkan sebuah rumah di Taman Viana kira-kira pukul 4 pagi idan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri terus ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa sekeluarga.
Tambahnya, setiba pasukan polis di tempat kejadian, penyamun terbabit telah melarikan diri dan bertindak atas maklumat daripada orang awam, polis berjaya mengesan kedudukan kumpulan tersebut.
“Polis berjaya menemukan semula barang yang disamun daripada mangsa iaitu jam tangan, barang kemas, dokumen diri serta beg duit berisi sejumlah wang tunai.
“Kenderaan, pisau pemotong, pemotong besi, topeng muka dan pakaian milik suspek turut dirampas semasa serbuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan menambah, hasil siasatan juga mendapati kumpulan suspek yang kini direman sehingga Jumaat ini, telah melakukan kes samun yang videonya tular pada 13 Jun lalu di Jalan Hillstone, berdasarkan modus operandi yang digunakan mereka. – UTUSAN