am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, diyakini masih hidup.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, beliau yakin wanita berusia 42 tahun itu masih hidup kerana berdasarkan kes yang dikendalikan sebelum ini tidak semua kes orang hilang berakhir dengan kematian.
“Saya percaya dia masih hidup. Tidak boleh ikutkan beberapa kes. Ada orang sudah lama hilang pun hidup lagi, ada orang baru hilang pun sudah mati.
“Tapi saya yakin dia masih ada lagi (hidup),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, polis mengesahkan siasatan menjurus kepada pembabitan suami wanita itu dan beberapa individu lain, dengan pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti semua sudut termasuk motif serta kemungkinan kaitan dengan kes pengubahan wang haram.
Pamela, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM. Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis pada 9 April lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd