BANGI – Pengundi-pengundi UMNO akan beralih kembali menyokong parti itu sekiranya ia berjaya mengukuhkan kedudukannya dan mengelakkan berlaku krisis dalaman yang boleh menghilangkan kembali kepercayaan rakyat.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, sebenarnya politik Malaysia masih bergantung kepada UMNO.
“Kerajaan sekarang bukan kerajaan PKR atau kerajaan Pakatan Harapan kerana masih ada UMNO di dalamnya.
“Ini bermakna politik dalam negara bergantung kepada kekuatan parti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Platform MG Siri 4: YB Muda Buat Kerja Atau Sekadar Popular?’ di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.
Menurutnya, penyokong-penyokong UMNO yang ‘berpindah’ kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana UMNO tidak kuat sahaja. Tetapi kalau parti ini kembali kuat, penyokong-penyokong tadi akan kembali kepadanya.
Justeru, katanya, dalam situasi semasa, UMNO perlu ada pemimpin-pemimpin yang betul-betul bekerja keras untuk rakyat bagi mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat kepada parti tersebut.
Mengulas mengenai sejauh mana pemimpin dalam negara beradaptasi dengan perubahan sosial, beliau berkata, ia berbeza dengan tuntutan semasa.
Katanya, wujud keperluan untuk meletakkan generasi muda dalam Kabinet atau jawatan penting dalam kerajaan negeri bagi memastikan reformasi pentadbiran menjadi kenyataan.
“Sekarang ini adalah masa yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan janji melakukan reformasinya lalu bagaimana reformasi nak dilakukan itu?
“Mungkin keperluan anak muda disertakan dalam Kabinet jadi anak-anak muda kalaa ada idea yang bagus. Kalau tidak ada jawatan di Kabinet tidak ada makna.
“Anak muda yang nak disertakan dalam politik mestilah ada jawatan dalam Kabinet atau Exco kerajaan negeri jadi setiap pemimpin ada era perbeza dan keperluan tuntutan masyarakat yang berbeza jadi kepekaan pemimpin mesti ke depan.
“Sekarang ini masa untuk Anwar melaksanakan reformasi tapi kenapa lambat? Kerana bukan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan, sekarang ada UMNO ada GPS dalam itu (kerajaan) jadi maknanya reformasi itu tidak relevan,” ujarnya.-MalaysiaGazette