PELUMBA pasukan dsm-firmenich PostNL, Max Poole muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas tamat pusingan kelapan yang juga peringkat terakhir mengelilingi Bintulu pada Ahad.
Poole mencatat masa keseluruhan 26 jam 27 minit 44 saat (s) untuk merangkul Jersi Hijau walaupun menamatkan peringkat kelapan itu di kedudukan ke-35.
Pelumba berusia 21 tahun itu meninggalkan pencabar terdekat, pelumba pasukan JCL UKYO yang dibezakan hanya 13s di kedudukan kedua manakala kedudukan ketiga milik pelumba pasukan Equipo Kern Pharma, Unai Iribar Jauregi.
Bagi Poole, kejayaan itu cukup sempurna buatnya apatah lagi berjaya mengekalkan jersi tersebut sejak peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands sehingga ke peringkat kelapan.
“Cuma sedikit terkilan prestasi saya semakin menurun apabila kami kehilangan seorang pelumba (Johan Dorussen).
“Jadi susah sedikit kami hendak melakar percaturan. Apa pun semua melakukan tugasan masing-masing dengan baik,” katanya selepas perlumbaan.
Lebih manis, Poole turut melakar sejarah selaku pemegang Jersi Hijau paling muda berusia 21 tahun mengetepikan rekod yang dilakukan Yonathan Monsalve (22 tahun) dari Androni Giocattoli Serramenti PVC Diquigiovann pada 2011.
Dalam pada itu, peringkat terakhir sejauh 147.5 kilometer (km) itu dimenangi pelumba pasukan JCL UKYO, Matteo Malucelli dengan catatan masa 3:07:38s.
Kemenangan pelumba Itali itu menyaksikan dia berjaya merampas Jersi Jingga selaku Raja Pecut berkelebihan dua mata daripada pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn (78 mata), manakala tempat ketiga diraih pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.
Gelaran Raja Bukit pula berjaya dimenangi oleh Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio dengan 27 mata, Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).
Pelumba terbaik Asia milik pelumba JCL UKYO, Manabu Ishibashi dengan catatan masa 26:30:02s diikuti rakan sepasukan Yuma Koishi (2:41s) dan kedudukan ketiga diisi Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) 2:45s.
Equipo Kern Pharma tampil sebagai pasukan terbaik di LTdL kali ini dengan catatan keseluruhan masa pasukan 79:24:12s mengatasi Astana Qazaqstan di kedudukan kedua dan tempat ketiga milik, Team Polti Kometa.
Perlumbaan LTdL 2024 meliputi perlumbaan sejauh 1,190 km dengan lapan peringkat bermula di Langkawi diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).