Popular Tapi Bahaya: KBS Hentikan Trend Pertarungan Kanak-Kanak

Popular Tapi Bahaya: KBS Hentikan Trend Pertarungan Kanak-Kanak


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan atlet kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam acara sukan tempur full-contact tanpa perlindungan keselamatan.

Larangan itu meliputi acara sukan bukan berprestasi tinggi seperti tinju, muay thai, kickboxing dan mixed martial arts (MMA).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya mengambil maklum trend peningkatan penganjuran pertandingan sukan tempur full-contact yang membabitkan pempengaruh dan selebriti kebelakangan ini.

Jelasnya, walaupun acara itu menerima sambutan daripada penonton dan berkemampuan menjana impak ekonomi yang positif, KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti atau perlindungan atlet dan kanak-kanak.

Sukan tempur full-contact dalam kalangan kanak-kanak hanya dibenar dalam kejohanan rasmi. Gambar Hiasan: Muaythai Malaysia

“KBS ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa sukan tempur adalah salah satu kategori sukan yang dikawal selia di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan tidak wajar dianggap sebagai aksi hiburan semata-mata

“Semua penganjur acara sukan tempur atau fight events dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara full-contact tanpa pelindung keselamatan dan hendaklah mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.

“Penyertaan atlet bawah 15 tahun bagi sukan tempur MMA, muay thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri yang berdaftar di bawah Akta 576,” katanya.

Hannah membuat penegasan itu selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi bagi meneliti langkah penambahbaikan kawal selia terhadap acara sukan tempur yang semakin mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.

Menurut Hannah, antara isu utama yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dokumen kontrak yang sah antara atlet dan penganjur, matchmaking padanan regu yang tidak seimbang, amalan tidak sihat seperti penurunan berat badan melampau serta pelanggaran kepada undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, isu-isu berkenaan mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme kawal selia dan memperkenalkan garis panduan bagi menjamin integriti, keselamatan dan profesionalisme dalam sukan tempur tempatan.

KBS serius memastikan acara sukan tempur dijalankan secara selamat. Gambar Hiasan: MSN

Sehubungan itu kata Hannah, Pesuruhjaya Sukan diberi tanggungjawab bagi mengkaji keseluruhan mekanisme mengawal selia acara-acara sukan seperti tinju, muay thai, kickboxing dan MMA demi memastikan keselamatan dan integriti pertandingan unarmed combat.

“Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan menyelia pengumpulan data berkaitan kejohanan, jumlah atlet, kadar kecederaan dan insiden kesihatan.

“Statistik ini akan menjadi asas kepada pembangunan dasar serta garis panduan yang akan diperincikan kelak.

“Langkah-langkah ini menunjukkan kesungguhan KBS untuk memastikan penganjuran sukan tempur di Malaysia dijalankan secara selamat, profesional dan beretika serta melindungi kebajikan atlet terutama kanak-kanak,” katanya.






Source link

OR

Scroll to Top