London: Kereta Porsche milik Lionel Messi ketika bersama Barcelona bakal dilelong dalam satu acara lelongan, Isnin ini.
Messi, 38, memandu model Porsche Cayenne GTS Coupe 2021 itu pada musim terakhirnya di Barca iaitu kempen 2020-21.
Menurut laporan, kereta mewah tersebut yang didaftarkan di Barcelona tetapi kini berada di Berlin, berada dalam keadaan sangat baik.
Kereta itu hanya mencatatkan 14,173 batu perbatuan ketika dijual dan turut mempunyai laporan pemeriksaan TUV terkini.
Ia dilengkapi enjin 4.0 liter V8 twin-turbo yang mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 270km/j.
Porsche itu juga mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam hanya 3.9 saat dengan kuasa sekitar 453 kuasa kuda.
Bahagian dalaman kereta berwarna hitam itu menampilkan tempat duduk dengan sulaman GTS, permukaan Race-Tex serta pakej Sport Chrono untuk pengalaman pemanduan lebih sporty.
Ia turut dilengkapi cermin gelap, lampu LED, spoiler belakang, lampu belakang jernih, sistem audio Bose dan bumbung panoramik.
Kereta bernilai sekitar £100,000 (RM534,000) itu akan dilelong melalui SBX Cars pada Isnin ini.
Jurucakap SBX Cars berkata:
“Pernah dimiliki Lionel Messi, Cayenne GTS ini hadir dengan enjin V8 twin-turbo, pakej Sport Chrono dan spesifikasi GTS agresif, gabungan praktikal harian dengan prestasi Porsche yang hebat.”
Messi juga terkenal dengan koleksi kereta mewahnya termasuk Ferrari 335 S Spider Scaglietti, Pagani Zonda Roadster, Mercedes-AMG GLE 63 S Coupe, Cadillac Escalade, Audi R8 Spyder, Range Rover Vogue, Mercedes SLS, Audi Q7, Mini Cooper Electric dan Maserati GranTurismo MC Stradale.
Legenda Argentina itu menamatkan era gemilang selama 17 tahun bersama Barcelona pada 2021 sebelum menyertai Paris Saint-Germain.
Sepanjang bersama Barca, beliau membantu kelab memenangi 10 gelaran LaLiga, tujuh Copa del Rey dan empat Liga Juara-Juara, selain mencatat 672 gol dan 303 bantuan jaringan dalam 778 penampilan.
Kini Messi beraksi untuk kelab MLS milik David Beckham iaitu Inter Miami, dan berkemungkinan bakal beraksi dalam Piala Dunia terakhirnya musim panas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






