lizamridzuan@hmetro.com.my
Jentera prestasi ikonik Porsche 911 GT3 Baharu dilancarkan baru-baru ini oleh pengedarnya di negara ini, Sime Darby Auto Performance (Auto Performance) yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Buat pertama kali, model itu ditawarkan serentak dalam dua varian iaitu versi fokus kegunaan litar dengan sayap belakang serta versi lebih ‘understated’ dengan Touring Package.
Sejak diperkenalkan pada 1999, 911 GT3 menjadi simbol kombinasi DNA perlumbaan dan kegunaan harian dan untuk model terbaharu ini membawakan peningkatan daripada segi prestasi, pilihan varian serta pakej penyesuaian yang lebih luas mengikut cita rasa pelanggan.
Nadi utama kereta sport ini ialah enjin aspirasi natural 4.0 liter flat-six yang menghasilkan kuasa 510 PS dan tork 450 Nm, selain ditawarkan bersama pilihan transmisi 7-kelajuan PDK atau manual 6-kelajuan dengan nisbah gear 8 peratus lebih pendek, membolehkan pecutan 0 ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam 3.4 saat (PDK) dan kelajuan maksimum 313km/j.
Daripada segi rekaan, model baharu ini hadir dengan wajah lebih tajam dengan bahagian hadapan menampilkan diffuser baharu, spoiler lip yang lebih kemas dan lampu utama Matrix LED dengan rekaan bingkai putih opsyenal. Bahagian belakang pula menggunakan diffuser dan penutup but direka semula, manakala varian GT3 bersayap belakang menampilkan sideplate baharu.
Sistem suspensi turut dipinjam daripada 911 GT3 RS, termasuk lengan jejari berbentuk titisan air bagi meningkatkan daya turun (downforce) dan penyejukan brek. Penalaan damper baharu serta sistem antidive memberikan kawalan lebih stabil ketika membrek dari kelajuan tinggi.
Touring Package, yang sebelum ini hanya muncul kemudian, kini ditawarkan sebaik model baharu dilancarkan. Ia mengekalkan garis elegan 911 tanpa sayap tetap, sebaliknya menggunakan spoiler boleh laras dengan Gurney flap. Buat pertama kali juga, GT3 Touring boleh dipasang kerusi belakang, menjadikannya lebih ‘versatile’ untuk pemanduan harian.
Menurut legenda rali dan duta Porsche, Walter Rohrl, talaan stereng baharu menjadikan GT3 lebih tenang di posisi tengah stereng tanpa menjejaskan ketepatan, manakala nisbah gear pendek meningkatkan keterujaan pemanduan di jalan berselekoh.
Porsche memberi penekanan besar pada konsep lightweight dengan rim aluminium baharu mengurangkan jisim tak berspring 1.5 kg, manakala pilihan rim magnesium dengan Weissach atau Leichtbau package mampu menjimatkan sehingga 9 kg.
Bateri lithium-ion ringan turut mengurangkan empat kilogram (kg), menjadikan berat minimum hanya 1,420kg.
Untuk kabin, GT3 dilengkapi kokpit dua tempat duduk hitam dengan meter rev analog di tengah serta ciri ‘Track Screen’ dengan paparan kepada maklumat penting seperti suhu minyak, tayar dan isyarat penukaran gear.
Pilihan kerusi bucket CFRP baharu disediakan, lengkap dengan fungsi lipatan untuk akses ke tempat duduk belakang bagi versi Touring.
Selain itu, pakej Weissach ditawarkan buat pertama kali untuk GT3 dan ia meliputi penggunaan CFRP pada bahagian bumbung, bar antiolengan, penutup cermin sisi dan komponen lain serta dalaman Race-Tex.
Bagi Touring, Lightweight Package ditawarkan dengan bumbung sewarna badan, rim magnesium dan gear lever pendek gaya 911 S/T.
Eksklusif untuk pemilik, Porsche Design turut memperkenalkan jam tangan GT3 chronograph. Dihasilkan daripada titanium ultra ringan dengan rekaan rotor menyerupai rim GT3, ia boleh dipadankan dengan warna badan kereta pilihan pemilik, menjadikannya ‘sports car for the wrist’.
Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 Touring kini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM2.29 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd