Portal InvestMalaysia gerbang maklumat sehenti untuk pelabur

Portal InvestMalaysia gerbang maklumat sehenti untuk pelabur


KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah melancarkan portal InvestMalaysia (www.investmalaysia.gov.my) sebagai gerbang maklumat sehenti untuk pelabur mendapatkan maklumat tentang Malaysia.

Portal ini bertindak sebagai platform sehenti dan mengumpulkan maklumat penting yang diperlukan bagi para pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap dan tepat pada masanya.

Portal InvestMalaysia bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik dengan mengetengahkan dan mempromosikan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran kewangan
Malaysia kepada pelabur domestik dan asing.

Antara tawaran khusus portal ini ialah pemahaman menyeluruh mengenai prospek ekonomi Malaysia, dasar negara, landskap perniagaan, maklumat pasaran khusus sektor dan kemudahan pelaburan yang bersesuaian.

Selain itu, mengetengahkan peluang pelaburan dengan mempamerkan pelbagai tawaran produk yang bersesuaian untuk pelabur domestik dan global dalam sektor awam dan swasta dan meningkatkan akses kepada pasaran Malaysia dengan berfungsi sebagai hab berpusat untuk menghubungkan pelabur sedia ada dan bakal pelabur dengan agensi kerajaan yang berkaitan.

Pelancaran portal ini disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Sasana Kijang hari ini.

Amir Hamzah berkata, portal InvestMalaysia bertujuan untuk menangani jurang untuk mendapatkan maklumat terakhir mengenai pelaburan di Malaysia.

“Kami telah mewujudkan platform untuk pelabur mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ada, atau sekurang-kurangnya mengetahui tempat yang betul untuk mencari maklumat yang tepat. IRO dan portal InvestMalaysia akan bertindak sebagai jurupandu bagi pelabur portfolio yang berhasrat menyertai pasaran negara,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pada asasnya, platform ini umpama pengantara (arbiter) keutuhan makroekonomi dan potensi pelaburan Malaysia, yang memberikan isyarat
tentang kedudukan dan prospek ekonomi dan kewangan negara serta menyampaikan maklumat ini secara lancar kepada pelabur”.

Pelancaran portal InvestMalaysia dijangka meningkatkan amalan hubungan pelabur dan merangsang aliran masuk pelaburan portfolio yang berkualiti tinggi ke dalam negara.

Aliran masuk ini akan menyumbang pada usaha mendalamkan pasaran kewangan negara dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, serta membantu negara mencapai aspirasi Ekonomi Madani untuk memajukan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top