London: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou berharap kapten pasukan, Son Heung-min akan kembali beraksi esok ketika beliau merancang strategi untuk pertemuan penting menentang Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Bintang Korea Selatan berusia 32 tahun itu sudah terlepas tujuh perlawanan terakhir kelab akibat kecederaan kaki, termasuk kedua-dua aksi separuh akhir menentang juara Norway, Bodo/Glimt, yang menyaksikan Spurs mara menerusi agregat 5-1.
“Semua pemain berjaya mengharungi perlawanan baru-baru ini dengan baik. Kami amat berharap Sonny akan dapat beberapa minit permainan esok, jadi dia satu-satunya pemain yang mungkin kembali beraksi,” kata Postecoglou, hari ini.
“Satu perkara yang kita tahu mengenai aksi Khamis lalu ialah bermain di padang tiruan (di Norway) memang memberi kesan besar kepada pemain, boleh dikatakan mereka semua keletihan,” katanya lagi.
Pertahanan utama Spurs — Cristian Romero, Micky van de Ven dan Destiny Udogie — dijangka akan direhatkan dalam aksi menentang Crystal Palace.
Tottenham kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang perlawanan menentang Palace — satu mata dan satu anak tangga di bawah Manchester United.
Namun, Spurs mara ke separuh akhir Piala Liga dan kini berpeluang menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun dengan kejayaan dalam Liga Europa.
Jurulatih dari Australia itu bakal mengemudi perlawanan ke-100 sebagai pengurus Tottenham dalam aksi final menentang United di Bilbao pada 22 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd