Postecoglou kecewa ketumpulan penyudah Spurs

Postecoglou kecewa ketumpulan penyudah Spurs


ANGE Postecoglou kecewa dengan penyudah yang tumpul ketika Tottenham Hotspur terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah terikat 1-1 dengan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Hari yang mengecewakan buat kami. Babak pertama cemerlang dan menguasai permainan tetapi mensia-siakan peluang di depan gol. Babak kedua juga sama.

“Kami bermula baik dan sebaik sahaja Leicester menjaringkan gol, penyokong menyemarakkan pasukan tuan ruman dan kami hilang rentak. Ia masalah sama seperti tahun lalu, kami perlu mengasah ketajaman di depan gol.

“Ia bukan kerana permainan atau usaha kami. Untuk mendapatkan keputusan anda perlu lebih tajam di kawasan lawan. Jika tidak anda tidak akan dapat hasil sepatutnya,” ujar Postecoglou.

Penyerang veteran, Jamie Vardy membantu Leicester City untuk meraih mata pertama ketika Spurs menguasai babak pertama tetapi jaringan pembukaan Pedro Porro pada minit ke-29 satu-satunya peluang yang mampu dimanfaatkan anak buah Postecoglou.

Ketumpulan Spurs menyempurnakan deretan peluang terhidang akhirnya dihukum dengan tandukan penyamaan Vardy pada minit ke-57.

Pemain Brazil, Richarlison terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Spurs kembali di depan pada penghujung permainan dan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Keadaan bertambah buruk buat Spurs apabila pemain tengahnya, Rodrigo Bentancur terpaksa diusung keluar pada masa kecederaan.

Pemain Uruguay itu terpaksa diberikan oksigen, namun kemudian dilaporkan kian pulih.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top