PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, meluahkan rasa kecewanya terhadap persepsi negatif yang terus menghantui The Lilywhites walaupun meraih kemenangan penting dalam saingan Liga Europa.
Pada Jumaat lalu, Spurs berjaya menewaskan wakil Norway Bodo/Glimt, 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa.
Namun, prestasi kelab London itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) jauh berbeza, apabila kini menduduki tangga ke-16 setelah tewas 19 kali selepas mengharungi 34 perlawanan.
Kemerosotan prestasi di liga domestik telah meningkatkan tekanan ke atas Postecoglou dan mencetuskan bantahan daripada sebahagian penyokong terhadap pengerusi kelab, Daniel Levy.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, naratif di sekitar kelab ini sama sekali tidak positif.
“Sama ada anda mengikuti kelab ini atau tidak, sentiasa ada konotasi negatif terhadap apa sahaja yang berlaku di kelab ini, dan ini telah wujud sejak sekian lama, anda perlu memecahkan tembok itu,” ujar Postecoglou menjelang perlawanan liga menentang West Ham United di Stadium London pada Ahad.
Postecoglou merasakan atmosfera dalam Stadium Tottenham Hotspur menjadi tegang selepas Bodo/Glimt menjaringkan gol pada minit ke-84.
Namun, beliau percaya pemain-pemainnya akan kekal positif dalam usaha mereka untuk memenangi trofi pertama kelab sejak tahun 2008.
“Penyokong Tottenham telah menyaksikan banyak peluang terlepas sejak sekian lama, jadi ada perasaan berhati-hati untuk tidak terlalu teruja. Namun, pemenang sebenar tidak memikirkan hal-hal negatif seperti itu. Mereka mempunyai kejelasan tentang apa yang perlu dilakukan untuk menang, dan saya sedang berusaha untuk mewujudkan budaya itu dalam kalangan pemain,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa jika pemain menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku, maka perkara tersebut mungkin akan terjadi.
Oleh itu, Postecoglou menekankan pentingnya fokus yang jelas untuk mencapai kemenangan.
Ini bukan kali pertama pengurus dari Australia ini memberi komen tentang budaya di kelab tersebut.
Bulan lalu, beliau juga mengungkapkan kebimbangannya mengenai kebocoran maklumat mengenai kecederaan pemain dari dalam kelab.
JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS
AHAD
Brighton and Hove Albion lwn Newcastle United
(Stadium Amex, 9 malam)
Brentford lwn Manchester United
(Stadium Komuniti:Gtech, 9 malam
West Ham United lwn Tottenham Hotspur
(StadiumLondon, 9 malam)
Chelsea lwn Liverpool
(Stadium Stamford Bridge, 11.30 malam
SELASA (6 MEI)
Crystal Palace lwn Nottingham Forest
(Stadium Selhurst Park, 9 malam)