rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan kempen antirasuah peringkat nasional, bagi memupuk kesedaran dan pendidikan awam mengenai pencegahan rasuah.
Pelaksanaan kempen itu dicadangkan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang dibentangkan dalam mesyuarat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya di sini, hari ini.
Pengerusi PPPR, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, kempen itu akan memfokuskan kepada pembangunan program pencegahan rasuah yang mampan melalui tadbir urus dan pendidikan lebih baik.
“Melalui kempen itu yang akan diketuai oleh SPRM melalui PPPR, SPRM berhasrat mewujudkan visi yang dikongsi bersama semua lapisan masyarakat.
“Ia sebagai usaha meningkatkan nilai integriti dan moral demi generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat PPPR berkenaan.
Yasmin berkata, mesyuarat juga membincangkan beberapa perkara lain termasuk isu berkaitan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM.
Katanya, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM turut membentangkan status terkini Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM yang juga Ex-Officio PPPR SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman meminta supaya mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri.
Beliau berkata, ia bagi mendapatkan maklum balas dan input dalam mengatur strategi keberkesanan kempen antirasuah peringkat nasional itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd