PPPS rayu menteri campur tangan selesai kemelut pemilihan

PPPS rayu menteri campur tangan selesai kemelut pemilihan


Paul Lee (kanan) bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar di hadapan Menara KBS, Putrajaya pada Isnin.

PERSATUAN Ping Pong Selangor (PPPS) merayu campur tangan segera Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan baharu yang didakwa tidak sah dan bertentangan dengan proses mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu.

Naib Presidennya, Datuk Paul Lee Kok Sun berkata, rayuan itu dibuat susulan tindakan berdiam diri Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) meskipun beberapa aduan rasmi telah dikemukakan sejak 7 Mei lalu.

“Kami telah mengemukakan tujuh tindakan susulan termasuk penyerahan surat secara fizikal dan mengadakan sidang media tergempar pada 3 Jun.

“Namun sehingga kini, tiada maklum balas diterima daripada pihak berwajib,” katanya dalam satu sidang media selepas menyerahkan aduan di Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut Paul, lebih membimbangkan apabila badan induk, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) mengiktiraf kepimpinan baharu PPPS yang diluluskan PJS tanpa sebarang siasatan rapi, sekali gus mencetus persoalan integriti.

“Kami khuatir jika tiada campur tangan segera, amalan ini boleh menjadi precedent yang membenarkan mana-mana pihak mengambil alih persatuan secara tidak sah, tetapi masih mendapat pengesahan rasmi,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak membawa perkara tersebut ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil dalam masa terdekat.

Sebelum ini, PPPS telah mengemukakan aduan rasmi kepada PJS pada 3 Jun, selain membuat laporan polis pada 3 Mei bagi menuntut siasatan lanjut terhadap dakwaan pelanggaran dalam proses pemilihan tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top