Prem Kumar tekad pertahankan emas karate SEA 2025

Prem Kumar tekad pertahankan emas karate SEA 2025


ATLET karate negara S Prem Kumar bertekad mempertahankan pingat emas acara bawah 55 kilogram (kg) kumite lelaki pada Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan.

Prem Kumar berkata beliau juga berharap dapat membantu Malaysia merampas emas kumite berpasukan lelaki selepas tumpas tipis 2-3 kepada Vietnam pada edisi lepas di Phnom Penh, Kemboja.

“Setelah melakukan persiapan rapi dalam tempoh 12 bulan ini, sudah tentu tekad saya hanya untuk menang.

“Jika boleh, saya juga mahu meraih emas dalam acara berpasukan,” katanya selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nazmizan Muhammad di sini pada Jumaat.

Atlet berusia 31 tahun itu juga enggan memikirkan soal pencabar, sebaliknya mahu kekal fokus terhadap persiapan sendiri untuk bertarung pada Sukan SEA 2025.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad karate negara R Sharmendran berkata anak buahnya sudah bersiap sedia untuk merealisasikan misi membawa pulang tiga emas seperti ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Sharmendran yang pernah memenangi emas bawah 75 kg lelaki pada empat edisi Sukan SEA berturut-turut dari 2017 hingga 2023 berkata tidak banyak perbezaan ketika bergelar atlet dan juga jurulatih.

Beliau berkata, misinya tetap sama, iaitu membantu Malaysia mencapai kejayaan tanpa mengambil kira peranan dipegangnya.

“Pada akhirnya, ini tentang negara, bukan kepentingan peribadi. Siapa pun yang menang, ia untuk Malaysia,” katanya.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla. – Bernama

Ringkasan AI

  • ATLET karate negara S Prem Kumar bertekad mempertahankan pingat emas acara bawah 55kg kumite lelaki pada Sukan SEA 2025 di Thailand
  • Prem Kumar berharap dapat membantu Malaysia merampas emas kumite berpasukan lelaki
  • Prem Kumar telah melakukan persiapan rapi dalam tempoh 12 bulan
  • Ketua jurulatih skuad karate negara R Sharmendran menyatakan anak buahnya sudah bersiap sedia untuk merealisasikan misi membawa pulang tiga emas
  • Sukan SEA Thailand 2025 akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top